ZINA
merupakan kejahatan yang sangat besar yang memberi kesan amat buruk
kepada penzina itu sendiri, khususnya dan kepada seluruh umat amnya. Di
zaman sekarang di mana banyaknya saluran dan media yang berusaha
menyeret kearah perbuatan keji ini, maka amat perlu untuk setiap orang
mengetahui bahaya dan akibat buruk yang timbul dari dosa zina. Kita
semua hendaklah lebih berhati-hati dan berwaspada agar tidak terjerumus,
hatta, walaupun hanya mendekatinya.
Di antara akibat buruk dan bahaya tersebut adalah :
1-
Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan yakni
berkurangnya agama si penzina, hilangnya sikap wara’ (menjaga diri dari
dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.
2-
Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu merupakan suatu hal
yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi
wanita.
3- Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.
4- Membuat hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.
5-
Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan atau merasa demikian
sehingga tidak pernah merasa cukup dengan apa yang diterimanya.
6- Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.
7- Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.
8- Pezina akan dipandang oleh manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.
9-
Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh orang-orang yang
memiliki ‘qalbun salim’ (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.
10-
Kesempitan hati dan dada selalu meliputi para pezina. Apa yang ia
dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya. Ini
adalah kerana, orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara
bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan yang sebaliknya dari
apa yang dia inginkan, dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan
untuk mendapatkan kebaikan dan kebahagiaan.
11- Penzina telah mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari yang jelita di syurga kelak.
12- Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim, serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan. Bahkan boleh membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.
13-
Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di
samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada
pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.
14-
Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih membekas dan mendalam
daripada asakan akidah kafir, misalnya, kerana orang kafir yang memeluk
Islam selesailah persoalannya, namun dosa zina akan benar-benar membekas
dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku zina itu bertaubat dan
membersihkan diri dia akan masih merasa berbeza dengan orang yang tidak
pernah melakukannya.
15-
Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia mengugurkan
kandungannya itu maka dia telah berzina dan juga telah membunuh jiwa
yang tidak berdosa . Jika dia ialah seorang wanita yang telah bersuami
dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir
maka dia telah memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga
suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari
siapa dia sebenarnya. Amat mengerikan, naudzubillah min dzalik.
16-
Perzinaan akan melahirkan generasi individu-individu yang tidak ada
asal keturunan (nasab). Di mata masyarakat mereka tidak memiliki status
sosial yang jelas.
17- Pezina laki-laki bererti telah menodai kesucian dan kehormatan wanita.
18- Zina dapat menyemai permusuhan dan menyalakan api dendam antara keluarga wanita dengan lelaki yang telah berzina dengannya.
19-
Perzinaan sangat mempengaruhi jiwa kaum keluarganya di mana mereka akan
merasa jatuh martabat di mata masyarakat, sehingga kadang-kadang
menyebabkan mereka tidak berani untuk mengangkat muka di hadapan orang
lain.
20- Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit-penyakit berbahaya seperti aids, siphilis, dan gonorhea atau kencing bernanah.
21-
Perzinaan menjadikan sebab hancurnya suatu masyarakat yakni mereka
semua akan dimusnahkan oleh Allah akibat dosa zina yang tersebar dan
yang dilakukan secara terang-terangan.
Hukuman Zina
Demikianlah
besarnya bahaya dosa zina, sehingga Ibnul Qayyim, ketika mengulas
tentang hukuman bagi penzina, berkata: “Allah telah mengkhususkan hadd
(hukuman) bagi pelaku zina dengan tiga kekhususan iaitu:
Pertama,
hukuman mati secara hina (rejam) bagi pezina kemudian diringankan (bagi
yang belum nikah) dengan dua jenis hukuman, hukuman fizikal yakni
dirotan seratus kali dan hukuman mental dengan diasingkan selama satu
tahun.
Kedua, Allah secara khusus menyebutkan larangan merasa
kasihan terhadap penzina. Umumnya sifat kasihan adalah diharuskankan
bahkan Allah itu Maha Pengasih namun rasa kasihan ini tidak boleh
sehingga menghalang dari menjalankan syariat Allah. Hal ini ditekankan
kerana orang biasanya lebih kasihan kepada penzina daripada pencuri,
perompak, pemabuk dan sebagainya. Di samping itu penzinaan boleh
dilakukan oleh siapa sahaja termasuk orang kelas atasan yang mempunyai
kedudukan tinggi yang menyebabkan orang yang menjalankan hukuman merasa
enggan dan kasihan untuk menjalankan hukuman.
Ketiga, Allah
memerintahkan agar pelaksanaan hukuman zina disaksikan oleh orang-orang
mukmin dengan maksud menjadi pengajaran dan memberikan kesan positif
bagi kebaikan umat.
Beberapa Perkara Penting Yang Perlu Diperhatikan
1-
Orang yang berzina dengan banyak pasangan lebih besar dosanya daripada
yang berzina hanya dengan satu orang, demikian juga orang yang
melakukanya berkali-kali dosanya lebih besar daripada yang melakukannya
hanya sekali.
2- Penzina
yang berani melakukan maksiat ini dengan terang-terangan lebih buruk
daripada mereka yang melakukannya secara sembunyi-sembunyi.
3-
Berzina dengan wanita yang bersuami lebih besar dosanya daripada dengan
wanita yang tidak bersuami kerana adanya unsur perbuatan zalim
(terhadap suami wanita), boleh menyalakan api permusuhan dan merosak
keutuhan rumah tangganya.
4- Berzina dengan jiran lebih besar dosanya daripada orang yang jauh rumahnya.
5- Berzina dengan wanita yang sedang ditinggalkan suami kerana perang (jihad) lebih besar dosanya daripada dengan wanita lain.
6-
Berzina dengan wanita yang ada pertalian darah atau mahram lebih jahat
dan hina daripada dengan yang tidak ada hubungan mahram.
7-
Ditinjau dari segi waktu maka berzina di bulan Ramadhan, baik siangnya
ataupun malamnya, lebih besar dosanya daripada waktu-waktu lain.
8-
Kemudian dari segi tempat dilakukannya, maka berzina di tempat-tempat
suci dan mulia lebih besar dosanya deripada tempat yang lain.
9-
Pezina muhson (yang sudah bersuami atau beristeri) lebih hina daripada
gadis atau jejaka, orang tua lebih buruk daripada pemuda, orang alim
lebih buruk daripada yang jahil dan orang yang berkemampuan (terutama
dari segi ekonomi) lebih buruk deripada orang fakir atau lemah.
Bertaubat
Bertaubat
ini bukan khusus hanya kepada penzina, bahkan kepada sesiapa sahaja
yang menunjukkan jalan untuk terjadinya zina, membantu dan memberi
peluang kepada pelakunya dan siapa saja yang ikut terlibat di dalamnya.
Hendaknya mereka semua segera kembali dan bertaubat dengan
sungguh-sungguh, menyesali apa yang pernah dilakukannya dan berusaha
sekuat tenaga untuk tidak kembali melakukannya. Dan yang paling penting
adalah memutuskan hubungun dengan siapa sahaja dan apa sahaja yang boleh
menarik ke arah perbuatan keji tersebut. Dengan demikian diharapkan
Allah akan menerima taubat itu dan mengampuni segala dosa yang pernah
dilakukan, dan ingatlah, tidak ada istilah ‘putus asa’ dalam mencari
rahmat Allah.
Allah berfirman, mafhumnya:
“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya;” (Al-Furqaan 25:68)
“Akan
digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal
di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,” (Al-Furqaan 25:69)
“Kecuali
orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka
orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka
dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.” (Al-Furqaan 25:70)
credit to: http://penpatah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment