7 Okt - KUALA SELANGOR – Masih tiada berita mengenai ibu
kepada enam kanak-kanak yang ditinggalkan kelaparan dalam sebuah rumah di Jalan
Bukit Panjang, Jeram, di sini, kelmarin.
Penduduk,
Daud Jaumar, 41, berkata, sehingga kini masih tiada khabar mengenai
wanita itu tetap, bapa mereka sudah pulang sebaik dipujuk penduduk.
“Penduduk pun ambil berat masalah keluarga itu dan sentiasa
menjenguk bila ibu bapa mereka asyik hilang. Saya pun sedih bila ada ibu bapa
yang sanggup buat seperti itu kepada anak mereka.
“Alhamdulillah, nasib anak-anak itu nampaknya dibela bila ada
individu yang sudi untuk menjaga sementara waktu dan ada pihak dari kerajaan
negeri yang melihat keadaan rumah itu,” katanya.
Bagi Hasiah Saat, 53, dia sudah menganggap tiga anak malang yang
diambil sejak kelmarin itu seperti cucu sendiri dan kasihnya tidak berbelah
bagi.
“Alhamdulillah, sepanjang menjaga mereka cukup mudah seolah-olah
mereka memahami keadaan yang berlaku. Nak tidur pun senang tidak ada yang
merengek tengah malam.
“Saya pun senang melihat mereka terjaga makan minum, pakaian dan
keperluan lain berbanding saat mereka ditemui dengan pakaian agak comot.
Wartawan SH, Arziana Mohamad Azaman yang melihat sendiri keadaan
anak-anak keluarga itu akui sedih dengan penderitaan yang dialami anak bongsu
itu.
Lampin
pakai buang yang dipakai dalam tempoh lama sudah
berbau dan ruam di bahagian kemaluan agak teruk.
“Saya tidak tahu berapa lama lampin yang dipenuhi najis itu
dipakai kerana bila saya membukanya, habis ruam teruk dengan lampin agak
‘berat’.
“Bila bagi
susu, bayi itu agak ‘pelahap’ sebab terlalu haus dan
tidur kekenyangan. Memang mudah menjaganya dan beruntung siapa yang dapat anak
seperti itu,” katanya.
Sementara itu, wakil Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr
Rodziah Ismail, Rozaini Mohd Rosli turut mengunjungi rumah enam beradik itu.
Katanya, Dr Rodziah memaklumkan akan meminta kerjasama semua
agensi di bawah kerajaan negeri yang boleh membantu membela nasib enam beradik
itu.
“Langkah yang wajar perlu diambil untuk membantu keluarga itu
dan turut menghubungi ahli keluarga suami itu untuk membantu.
“Usaha ini
sejajar dengan konsep memasyarakatkan kebajikan supaya keluarga ini dapat
dibela dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), Ahli Majlis Daerah Kuala
Selangor dan pihak
berkenaan,” katanya.
Wartawan SH turut menemui bapa enam beradik itu, Mohd Roslan
Ismail, 32, ketika kunjungan kali kedua ke rumah itu dan dia mengakui
kesilapan.
“Saya berterima kasih kepada semua yang prihatin dan beri makan
kepada anak saya. Saya tidak akan lupa jasa mereka.
“Saya juga mengizinkan beberapa individu untuk menjaga anak buat
sementara waktu kerana sekarang ini saya serabut dengan masalah keluarga.
Isteri entah ke mana dan anak-anak terabai,” katanya. -sinarharian.
8 Okt - KUALA SELANGOR - “Saya takut nak
balik jenguk anak-anak bila tahu suami ada di rumah sebab sebelum gaduh, dia
dah bagi amaran supaya jangan balik lagi.
“Saya sedih bila selalu kena pukul dan kekurangan wang sebab suami tak kerja
hampir setahun. Bila ada salah atau tanya sikit, dia akan pukul saya tanpa
sebab,” kata ibu enam beradik yang ditinggalkan, Che Suwarti Che Pa, 31, ketika
ditemui Sinar Harian semalam.
Che Suwaiti berkata, bila gaduh besar kali ini hanya kerana motosikal, dia
cepat-cepat keluar rumah sebab tidak tahan dipukul lagi dan terus pergi
bersembunyi di rumah rakannya.
“Saya ada juga pulang senyap-senyap lewat malam untuk melihat anak tetapi rumah
gelap dan sunyi. Saya hanya sempat ambil baju di ampaian belakang rumah sahaja.
Kalau dulu suami tinggalkan kami tujuh beranak tanpa duit dan makan minum, saya
pendamkan sahaja dan berusaha untuk mencari sumbangan dari Pusat Khidmat
Masyarakat (PKM) Dun Jeram.
“Ingatkan bila bawa diri ke rumah kawan, suami belajar dari kesilapan tetapi
lain pula jadinya bila dapat tahu anak ditinggalkan suami begitu sahaja. Sebab
sebelum saya keluar rumah, suami masih ada di rumah dan bila jadi begini, saya
sedih dan malu,” katanya yang hadir ke Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) Kuala Selangor.
Menurutnya, dia masih mahu menjaga kesemua anak-anaknya itu namun disebabkan
kekangan duit, anak sulung yang juga kurang upaya (OKU) berusia sembilan tahun
tidak dapat bersekolah.
“Kalau boleh saya mahu selesaikan masalah ini cepat-cepat dan masih sayang anak-anak,” katanya yang masih
menunggu keputusan JKM.
Bagaimanapun lain pula respons apabila ditanya suaminya, Mohd Roslan Ismail,
32, mengenai pergaduhan itu dan pihaknya menafikan perkara itu.
“Tetapi saya berterima kasih kepada semua kerana banyak membantu kami,”
katanya.
Tak lepas tangan
Wakil keluarga yang enggan didedahkan nama berkata, rata-rata ahli keluarganya
sudah lali dengan masalah yang dihadapi pasangan suami isteri itu yang kerap
bergaduh.
“Bila ada masalah, si suami tempatkan anak-anak di rumah kami dan bila dah
berbaik semula, isterinya pula mahu mengambil anak untuk dijaga. Dahulu anaknya
sudah tinggal di kampung suami di Kelantan tetapi isterinya mengambilnya semula
kerana mahu menjaganya.
“Bila bergaduh, anak-anak menjadi mangsa,” katanya yang terkejut apabila
membaca berita mengenai enam beradik itu sebelum menghubungi ahli keluarga
lain.
Katanya, kalau dahulu ahli keluarga sibuk mahu membantu menyelesaikan masalah
mereka tetapi suami isteri masing-masing berdegil dan mempersoalkan
keprihatinan mereka untuk bantu.
“Bila kita mahu bantu, dia pula pertikaikan menyebabkan kami putus asa. Bahkan
kita pun tidak tahu mana mereka tinggal selepas rumah sewa terbakar beberapa
tahun lalu.
“Bila keluar surat khabar barulah kita tahu mereka berada di mana sebenarnya
dan berusaha untuk bantu demi masa depan enam beradik itu.
Ahli keluarga dah putuskan untuk menjaga keenam beradik itu kerana tidak mahu
perkara sama berulang tetapi bila jadi kes JKM, kita kena tunggu keputusan,”
katanya.
JKM ambil tindakan
Sinar Harian difahamkan, keenam beradik itu kini di bawah penjagaan JKM Kuala
Selangor untuk tempoh yang ditetapkan sementara menunggu siasatan.
Menurut JKM Kuala Selangor, pihaknya sedia maklum dengan masalah itu dan
mengambil tindakan sewajarnya untuk menjaga enam beradik itu buat sementara
waktu.
Selepas berita mengenai nasib malang enam beradik itu didedahkan Sinar Harian,
orang ramai termasuk NGO tidak putus-putus memberi respons untuk membantu dan
ada juga mahu mengambil sebagai anak angkat.
Panggilan luar biasa diterima daripada individu prihatin yang mahu membantu
membela nasib enam beradik itu dan orang ramai boleh datang ke JKM Kuala
Selangor untuk maklumat lanjut.
Ahli Majlis Kuala Selangor yang juga Ketua Wanita PKR Cabang Tanjong Karang,
Nurfaezah Ismail bersama Ketua Wanita PKR Ranting Jeram, Siti Zaleha Rashid
turut hadir ke JKM, semalam.
Sementara itu, Penyelaras PKM Dun Jeram, Muhd Rashid Muhd Kassim turut kesal
perkara itu berlaku sedangkan sebelum ini pihaknya banyak membantu dari segi
kewangan.
“Bila si isteri datang mohon bantuan kerana tiada duit nak beli susu, saya bagi
sikit untuk ringankan beban dan buatkan permohonan bulanan dengan JKM bagi
membantu mereka.
“Saya ingatkan hidup mereka dah baik kerana sudah lama tidak datang atau menghubungi
saya, tetapi bila dapat tahu berita seperti ini saya jadi sedih,” katanya
- sinar harian
Leya say: Tahniah coz semua pihak memainkan peranan untuk bantu anak2 yang tidak berdosa ini. Thanks pada semua yang perihatin. Syukur Alhamdulillah.... insyaAllah nasib anak2 ini akan terbela... syukur Ya Allah.....